Pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang .
Dia ingin menjumpai pendita untuk meminta fatwa supaya dia dapat
bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa
dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang
untuk bertaubat. Pendita dengan tegas mengatakan dia tidak boleh
bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu mejadi marah dan
terus membunuh pendita itu, menjadikannya mangsa yang ke-100. Dia masih
ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh
membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia
menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada
Allah masih menerima taubatnya. Ulama itu menerangkan dia masih ada
harapan untuk bertaubat. Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke
sebuah negeri di mana terdapat sekumpulan abid (orang beribadat).
Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan
beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya
yang penuh dengan maksiat. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu
terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Sebaik saja
sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Ketika
itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat, iaitu Malaikat Rahmat dan
Malaikat
Azab. Malaikat Rahmat ingin mengambil roh lelaki itu kerana pada
pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya untuk bertaubat
sementara Malaikat Azab mengatakan dia mati dalam su'ul-khatimah kerana
dia telah membunuh 100 orang dan masih belum membuat
sebarang kebajikan. Mereka saling berebutan dan tidak dapat memutuskan
keadaan lelaki itu. Allah kemudian menghantar seorang malaikat lain
berupa manusia untuk mengadili perbalahan mereka berdua. Dia menyuruh
malaikat itu mengukur jarak tempat kejadian itu dengan kedua-dua tempat;
adakah tempat kejadian itu lebih dekat dengan tempat kebajikan yang
hendak dituju atau lebih dekat dengan tempat dia mula bertolak.
Sekiranya jaraknya lebih dekat dengan
tempat kebajikan, dia
kepunyaan Malaikat Rahmat. Setelah diukur, didapati jarak ke negeri
kebajikan melebihi kadar sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus
diambil oleh Malaikat Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan
Allah.






Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Silahkan tulis komentar anda !!